Hong Leong Islamic Bank Terima “Anugerah Kecemerlangan GIFA 2023” atas Komitmen terhadap Inovasi dan Keterangkuman Kewangan
Hong Leong Islamic Bank Terima “Anugerah Kecemerlangan GIFA 2023” atas Komitmen terhadap Inovasi dan Keterangkuman Kewangan
Kuala Lumpur, 25 September 2023 – Hong Leong Islamic Bank (“HLISB” atau “Bank”) mengumumkan bahawa ia telah menerima Anugerah Kecemerlangan GIFA (Perbankan Islam) sempena Global Islamic Finance Awards (GIFA) ke-11 2023 yang diadakan di Senegal.
GIFA merupakan salah satu anugerah terkemuka dalam dunia Perbankan dan Kewangan Islam. Anugerah tersebut diberikan untuk mengiktiraf prestasi dan sumbangan cemerlang dalam mempromosikan tanggungjawab sosial, pematuhan kepada ketulenan Syariah dan komitmen terhadap Perbankan Islam. Pengiktirafan tersebut menunjukkan dedikasi HLISB terhadap inovasi dan transformasi digital dalam ruang Perbankan Islam, serta pelaksanaan Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) merentasi semua bidang operasi.
Dafinah Ahmed Hilmi, Ketua Pegawai Eksekutif HLISB mengulas, “Kami berbesar hati menerima anugerah berprestij ini yang membuktikan komitmen kami dalam menyokong pelanggan dalam bidang keusahawanan, perbankan komuniti dan rangkuman kewangan di seluruh sektor Perbankan Islam. Di HLISB, kami komited untuk menjadi rakan kongsi yang dipercayai kepada pelanggan, serta menjadi pengantara kewangan berkesan yang berusaha meneroka perkembangan terkini untuk memastikan kami kekal sebagai peneraju pasaran dalam pengurusan kekayaan Islam, sektor Halal dan pengantaraan pelaburan. Sejajar dengan janji kami untuk mengetengahkan keperluan pelanggan, kami ingin terus menyediakan produk dan perkhidmatan kewangan yang memenuhi keperluan khusus dan gaya hidup pelanggan kami, dalam hasrat kami untuk menjadikan perbankan Islam lebih mudah diakses, inovatif dan mampan untuk semua."
Dalam usaha mengembangkan inisiatif Pengantaraan Berasaskan Nilai sepanjang tahun lalu, HLISB telah melancarkan satu inisiatif dengan kerjasama SURI, sebuah perusahaan sosial yang memperkasakan golongan ibu yang berpendapatan rendah dengan peluang keusahawanan. Kerjasama ini melibatkan HLISB dan SURI mendidik 20 ibu tunggal daripada komuniti B40 dengan latihan jahitan intensif dan pembangunan produk selama 3 bulan, dengan tumpuan menggunakan bahan kitar semula. Melalui inisiatif ini yang membantu ibu tunggal berpendapatan rendah, pihak Bank berharap dapat memupuk rangkuman kewangan dan meringankan beban kewangan masyarakat, secara langsung memposisikan mereka di atas landasan ke arah mencapai kebebasan kewangan.
Selaras dengan memperluaskan lagi tawaran VBI mereka, HLISB juga telah melancarkan program kewangan sosial 'HLB Jumpstart - Perniagaan Mikro" pada tahun lepas. Program ini bertujuan untuk membantu perniagaan mikro dan usahawan yang kurang mendapat perkhidmatan membina perniagaan yang berjaya dengan menyediakan peluang perkembangan, sumber industri, dan akses kepada pembiayaan modal. Usahawan diberi akses kepada bimbingan dan bantuan daripada profesional industri, peluang membina rangkaian, alat pendigitalan, dan sokongan penjenamaan dan pemasaran. Program ini adalah usaha Bank untuk memperkasakan perniagaan mikro dan usahawan untuk membina dan mengembangkan perniagaan mereka, serta menjana perubahan dalam komuniti mereka.
Selain itu, dengan DNA berteraskan komuniti dan komitmen terhadap meluaskan keterangkuman kewangan, HLISB berusaha mengembangkan penyelesaian kewangan digital yang diberi khusus untuk pelbagai pelanggan dan komuniti, memastikan lebih ramai orang mendapat akses mudah kepada perkhidmatan perbankan. Salah satu inisiatif sedemikian adalah HLB@Kampung, di mana Bank membantu menyepadukan ekosistem kewangan digital di bandar-bandar kecil di seluruh negara, melengkapkan perniagaan tempatan dengan kemudahan perbankan digital dan memperkasakan mereka untuk menerima pembayaran tanpa tunai dan mengembangkan keupayaan mereka.
Dalam membantu Sekinchan di Selangor melancarkan kempen pelancongan "Visit Sekinchan Year 2023” pada awal tahun ini, pihak Bank telah melengkapkan 258 perniagaan tempatan dengan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai seperti Kit Permulaan HLB DuitNow yang mengandungi Kod QR DuitNow dan Terminal Pembayaran “All-In-One”, secara langsung melengkapkan komuniti dengan ekosistem pembayaran digital yang lancar. Selain itu, pihak Bank akan meneruskan transformasi digital ini di seluruh Malaysia dengan menjadikan Pasar Tamu Donggongon, Sabah dan daerah Kinta dan Manjung di Perak sebagai “Kampung Tanpa Tunai”.